0

Sabar " Legowo" Lapang Dada

Sabtu, 10 Januari 2015



"S A B AR"

       SABAR....

      Pengenalan
      Sabar itu istana Iman. Begitulah kata-kata pujangga. Hakikatnya, antara
      ratusan sifat-sifat terpuji (mahmudah) sabar boleh dianggap sebagai
      penghulunya. Ini jelas apabila Al-Quran sendiri mengulang-ulang kalimah
      ini tidak dari 70 kali.
      Dalam masyarakat kita, kalimah sabar meniti mudah dari bibir ke bibir.
      Saban hari kedengaran seolah-olah begitu mudah untuk dipraktikkan.
      Padahal, Rabi'ah al-Adawiyyah pernah diriwayatkan berkata :
      "Sabar itu tidak tertanggung melainkan dengan kesabaran jua"

      Pengertian Sabar
      Di dalam Bahasa Arab sabar bermaksud 'menahan diri atau cekal'
      Secara istilahnya sabar bererti 'menahan diri atas perkara-perkara yang
      disukai, demi mencari keredhaan Allah'. Yakni, walaupun sesuatu perbuatan
      itu tidak kata gemari, bersedekah umpamanya, kita tetap bertahan
      melakukannya demi keredhaan Allah. Firman Allah (S.W.T) dalam surah
      Ar-Ra'd ayat 22 :
      "Dan orang-orang yang bersabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya"
      Secara mudahnya, sabar sering diertikan dengan ketenangan hati, tidak
      panik ataupun berkeluh-kesah dalam menghadapi apa jua situasi.
      Hukum Sabar
      Hukum sabar bergantung kepada hukum perbuatannya yang hendak dilakukan.
      Contohnya: bersabar dalam mengerjakan ibadah wajib (solat lima waktu
      umpamanya) hukumnya adalah wajib. Manakala bersabar dalam mengerjakan
      maksiat (berzina misalnya) adalah haram. Begitulah seterusnya.

      Jenis-jenis Sabar
      Sabar Fizikal.
      Ia melibatkan aspek-aspek jasmani dan tubuh badan. Contohnya : cekal
      bekerja demi mencari sesuap nasi. Menahan sakit, demam serta kecederaan
      jasmani juga tergolong dalam kategori ini.

      Sabar Jiwa/Hati.
      Maksudnya ialah menahan diri dari mengikuti telunjuk hawa nafsu yang
      dicela syara'. Contohnya : menahan diri dari sifat marah, bakhil, tamak
      haloba dan sebagainya.
      Kemuliaan Sifat Sabar
      Sifat sabar dinisbahkan oleh Allah dengan sifat rasul-rasul Ulul Azmi
      sebagaimana fiman-Nya dalam surah Al-Ahqaf ayat 35 :
      "Bersabarlah sebagaimana rasul-rasul Ulul Azmi bersabar"
      Ulul Azmi adalah lima rasul yang amat cekal menghadapi cabaran dan
      tentangan umat mereka dalam menjalankan dakwah. Mereka ialah Nabi Muhammad
      (S.A.W.), Nabi `Isa, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh (a.s).
      Bersabar adalah syarat utama untuk berjaya di dunia mahupun di akhirat. Di
      dunia ini, seorang petani yang tidak sabar membaja, menyiram dan meracun
      tanamannya, takkan melihat tanamannya subur dan berbuah. Seorang pelajar
      yang tidak menelaah buku-buku pelajarannya tidak mungkin lulus
      peperiksaannya.
      Tanpa sifat sabar, adalah mustahil untuk kita mendapat ganjaran syurga di
      akhirat kelak. Siapa pula yang mampu mengerjakan ibadah dan menjauhi
      maksiat seandainya dia tidak memiliki sifat sabar?
      Sabar membezakan antara manusia dan makhluk lain. Allah mencipta binatang
      punya nafsu semata-mata. Ia tidak dilengkapkan dengan akal, juga tidak
      dihiasi dengan sifat-sifat terpuji. Lihatlah seekor lembu, perhati dan
      kaji gerak-gerinya, nescaya tidak akan dapat sifat mulia ini padanya.
      Manakala para Malaikat pula diciptakan Allah suci dari hawa nafsu. Mereka
      asyik beribadah kepada Allah tanpa memerlukan sifat sabar sebagai perisai.
      Sedangkan kejadian kita manusia, pada awalnya hanya nafsu memerintah,
      sewaktu akal masih putik. Kita hanya tahu menangis bila kelaparan atau
      kesakitan. Sedikit demi sedikit akal mula membesar seiring tumbesaran
      jasmani. Kemudiannya kita dilatih bersabar sedikit demi sedikit. Hinggalah
      kita baligh dan wajib mematuhi Syari`atnya.
      Di sini jelas kepentingan dan kemuliaan sifat sabar buat seorang insan,
      yang membezakan kejadiannya dengan makhluk lain.

      Salah Konsep Sabar.
      Walau apapun sebabnya, masyarakat Malaysia kita sememangnya menggunakan
      kalimah sabar secara luas. Ini dapat kta dengar dari perbualan harian
      hinggalah pidato mahupun lagu-lagu yang mana semuanya berunsurkan nasihat
      ataupun pujukan.
      Oleh kerana ini, sering berlaku salah pengertian tentang konsep sabar itu
      sendiri. Antara salah konsep masyarakat kita dalam mengertikan sifat sabar
      ialah :
      Kompromi.
      Sabar dan kompromi adalah dua kalimah berlainan makna, walaupun kita perlu
      bersabar untuk berkompromi. Ada perkara yang tidak boleh berkompromi
      terutamanya bila melibatkan maruah diri, bangsa dan agama.
      Tidak seperti agama Kristian yang menawarkan pipi kiri setelah pipi kanan
      ditampar, Islam mewajibkan kita agar bersedia mempertahankan diri dari
      awal lagi.
      Sebagai contoh, jika terdapat golongan ajaran sesat di sekeliling kita,
      tentu sekali kita tidak boleh berkompromi dengan memekakkan telinga dan
      membutakan mata sahaja. Kononnya "biarkanla mereka dengan amalan kita dan
      kita dengan amalan kita". Namun. Tindakan membuta tuli seperti menengking
      dan memukul seringkali tidak membawa sebarang kesan positif.
      Dalam situasi begini, perasaan marah perlulah ditahan di samping mengatur
      tindakan serta agenda dakwah secara terancang. Sesungguhnya Rasulullah
      (s.a.w) amat tegas dalam urusan agama, tetapi beliau bukan seorang yang
      pemarah.
      Menyerah.
      Seringkali kedengaran oleh kita masyarakat melafazkan :
      "Apa nak buat, bersabar sahajala"
      Perlu ditegaskan, sabar bukannya tewas atau kalah. Malah setiap muslim
      perlu mengambil tindakan penyelesaian yang sewajarnya sekiranya menghadapi
      masalah. Misalnya dalam kes penipuan wang yang sering berlaku kini.
      Walaupun hati tidak redha, pihak yang ditipu sering mendiamkan diri dengan
      alasan sabar. Sepatutnya, aduan polis perlu dibuat agar pesalah dapat
      diadili di mahkamah.
      Di samping menghukum pesalah, tindakan mahkamah dapat mengelakkan
      berlakunya penipuan terhadap orang lain pula.
      Tindakan sebegini tidak sekali-kali menafikan sifat sabar pada seseorang
      insane. Bahkan Islam sendiri mewujudkan sistem kehakiman untuk membanteras
      penganiayaan.
      Tidak berusaha.
      Bersabar atas kemiskinan ataupun kecacatan diri bukan bereerti menerima
      bulat-bulat keadaan yang berlaku. Allah menyeru agar manusia berusaha
      sedaya upaya baru kemudiannya berserah kepada Allah. Firman-Nya dalam
      Surah Ar-Ra`d, ayat 11 :

      "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka
      sendiri mengubahnya"
      Cacat bukan alasan untuk malas. Lihatlah Abdullah Bin Ummi Maktum.
      Walaupun beliau cacat penglihatan, namun namanya tetap harum mengukir
      sejarah hasil jasa baktinya terhadap agama.
      Firman Allah lagi dalam surah A-li `Imran, ayat 159:
      "Apabila kamu menaruh azam maka bertawakkallah kepada Allah"
      Sabar hanya sewaktu susah.
      Mungkin pelik bagi sesetengah orang jika dikatakan kita juga perlu
      bersabar pada waktu senang. Ini mungkin kerana sifat sabar kerap dikaitkan
      dengan kesusahan dan penderitaan. Padahal, yang lebih sukar adalah sabar
      sewaktu senang untuk membendung sifat-sifat tercela di dalam diri seperti
      bakhil, bongkak dan sombong agar kita menjadi hamba yang bersyukur. Betapa
      rapatnya hubungan sifat sabar dengan syukur, dikembarkan kalimah 'Sabar'
      (orang yang sabar) dan 'syukur' (orang yang bersyukur) sebanyak 4 kali di
      dalam Al-Quran.
      Pasif.
      Mengerti sabar sebagai tunggu dan lihat juga tidak tepat. Sepatutnya orang
      yang sabar adalah pro-aktif, yang mampu bertindak selangkah ke hadapan
      dari orang lain. Ini kerana hatinya yang tenang yang memungkinkannya
      berfikir dengan waras.

      Penutup.
      Kerana kekurangan ilmu dan praktis, sabar kerap dianggap sebagai matlamat
      atau penyelesaian. Sedangkan sebenarnya sifat sabar adalah wadah atau
      perisai ampuh yang mesti digunakan untuk mencapai matlamat hidup di dunia
      dan akhirat.
      Bersamalah kita berdoa agar Allah menganugerahi kita dengan sifat mulia
      ini.
      Amin.

0 Responses to "Sabar " Legowo" Lapang Dada"